Sunday, December 5, 2010

--->> SaYangI Dia

''Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang''..semoga para sahabat sentiasa berada di bawah lembahyung rahmat dan redha ALLAH swt..

'' Umi, kenapa Allah beri kita sakit ? soal kak Long perlahan ketika saya sedang memicit-micit kepalanya. Kebelakangan ini, agak kerap dia mengadu sakit kepala. Mungkin kerana cuaca yang tidak menentu menyebabkan kesihatnnya sedikit terganggu.

Saya menatap wajahnya yang berkerut menahan kesakitan. Sesekali dia menutup mata yang sedikit berair. Memahami ketidakselesaannya, saya mengalihkan sedikit kepala kak Long di atas riba untuk mengelakkan cahaya lampu mengenai langsung ke anak matanya.
            
       " Kenapa ya Umi?'' Kak Long kembali bertanya.
         Sebab sakit adalah ujian. Allah nak lihat kita sabar atau tidak apabila diuji dengan kesakitan," ringkas    saya memberikan jawapan.

   '' Kalau kita sabar, maksudnya kita berjayalah ye, Umi?'' Kak Long bertanya. Saya mengganguk. Jelas, dia memahami bahawa setiap yang bernama ujian merupakan penentu kepada dua kemungkinan; berjaya atau pun kecundang. Saya menyudahkan urutan apabila melihat kak Long semakin tenang. Syukur sakit di kepalanya kian menghilang.


Pelbagai Jenis ujian  

Masih banyak tugasan lain yang perlu dibereskan. Pinggan mangkuk, kain di ampaian sedang menunggu untuk dibereskan. Juga artikel untuk pengisian di blog yang asyik tertangguh untuk disiapkan. '' Tapi kan bagus kalau kita tidak pernah sakit?'' Tiba-tiba kak Long bersuara. Langkah saya terhenti mendengar soalannya sekali ini. Nampaknya dia masih belum berpuashati dengan penjelasan saya tadi. Saya kembali duduk mengambil tempat di sisi.

" Kak long sakit bukannya satu- satunya ujian. Ada banyak lagi ujian yang ALLAH sediakan. Cuma manusia mudah memandang yang buruk sahaja sebagai ujian. Manakala yang baik dan menggembirakan, kita pandang sebagai nikmat dan bukannya sebagai ujian,'' saya memulakan penjelasan.

'' Kak Long ftidak faham......'' tulus dia memberi pengakuan. Mendengar itu, saya menarik nafas dalam. Memikir dan mencari perkataan yang lebih mudah. Mencongak-congak ayat sebelum diluahkan. Biar mudah difahami. Biar jelas untuk dihadamkan.

Bentuk-Bentuk Ujian

Dalam Al Quran ALLAH ada menyebut pelbagai ujian ke atas manusia. Antaranya sesuatu yang memikat hati dan nafsu, nikmat seperti pangkat , harta, badan yang sihat dan rupa paras yang menawan atau kesusahan dan musibah seperti sakit, kehilangan harta, kematian dan seumpamanya.

Semua itu adalah ujian bagi menentukan sama ada seseorang itu beriman atau sebaliknya. Allah SWT sebagai pencipta makhluk di dunia, Maha mengetahui keadaan manusia yang selalu lalai dan leka. Lalu, Allah menghendaki agar kita tidak tertipu dan terpengaruh dengan nikmat dunia serta segala kesenangannya. Kerana itu ada yang lulus daripada ujian ini dan akan ada yang gagal bagi mereka untuk melepasinya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: '' Tiap- tiap diri akan merasa kematian. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai satu cubaan ( yang sebenar-benarnya) dan kepada kami kamu akan dikembalikan.''( Surah al Anbiya ' 21:35).

Kebaikan dan Keburukan

'' Sama ada sakit atau pun sihat, kedua-duanya ialah ujian. Miskin mahupun kaya, Kedua-dua juga adalah satu ujian daripada Allah SWT. ''Berhati-hati saya menerangkannya.'' Kebaikan pun ujian juga ya Ummi "? Kak Long bertanya dengan kerut di dahi. Saya menganggukkan kepala sambil tersenyum melihat wajahnya. Jangan pening lagi lepas ni, saya berbisik sendiri.

'' Kalau macam tu susahlah, '' keluh Kak Long. '' Susah dan senang, berat atau ringan ujian yang kita hadapi bergantung kepada bagaimana kita menghadapinya. Cuba Kak Long ingat kisah-kisah dalam Al Quran. Nabi Ibrahim yang di uji dengan perintah agar menyembelih anaknya Nabi Ismail, lulus. Rasullullah saw dan orang Islam diuji dengan ejekan, pemulauan sehingga ada yang mati kelaparan juga telah lulus. Sebaliknya, Firaun yang diuji dengan harta dan kekuasaan, Gagal. Qarun yang diuji dengan harta juga gagal, '' panjang lebar saya menjelaskannya.

Kak Long kena ingat Allah swt memberi bermacam-macam ujian ini bukan untuk menyusahkan, tapi semuanya ada sebab. Antaranya, adalah untuk melihat sejauh mana keimanan kita, untuk mengampunkan dosa dan juga sebagai tanda kasih sayang pada kita,'' ujar saya bersahaja. Kak Long diam mendengar kata-kata saya.

'' Sebagai manusia kita selalu lupa. Biasanya orang yang ada banyak harta, ada kuasa, orang yang cantik jelita, orang yang sihat, tidak akan berasa bahawa mereka sedang diuji , sehingga akhirnya mereka lalai, lupa untuk bersyukur, bangga diri dan sebagainya. Kerana itu, Allah swt telah datangkan sakit atau keburukan-keburukan lain supaya manusia kembali mengingat Allah, baik ketika senang atau susah ,'' saya menambah sambil bangun dan berlalu ke tingkat bawah.

Anakku Sayang...Sayangi Dia........

Pagi itu, sambil memasak sarapan pagi ingatan saya ligat mengimbas kembali perbualan Kak long malam tadi. Saya menginsafi, banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk menerapkan rasa cinta anak-anak kepada Yang Maha Esa.

Penjelasan yang telah diberikan harus disusuli peneguhan agar apa yang disampaikan tidak hilang daripada ingatan. Tidak perlu melakukan sesuatu yang sukar dan rumit, cukup dengan sesuatu yang mudah tetapi bersifat merangsang dan seterusnya mampu dikenang. Lantaran itu, sebaik selesai menyiapkan sarapan dan bekal anak-anak, saya segera membuka lap top di atas meja kerja. Saya mencari laman web senawang yang menunjukkan cara-cara membuat origami.

Setelah berjaya memperolehinya, saya mengambil dua helai kertas berwarna merah muda. Saya gunting kedua-duanya menjadi bentuk segi empat sama. Seterusnya saya mengikuti langkah demi langkah sehingga dua helai kertas itu membentuk dua keping hati. Sebagai penamat saya tuliskan di dalam hati'' itu kata-kata ingatan buat renungan puteri dan putera kesayangan:
Di dalam dua keping hati itu, saya tuliskan '' Assalammualaikum wbt Kak Long, Alhamdullilah Allah berikan kita makanan, Allah berikan kita kesihatan. Allah swt juga menguji kita dengan kesakitan sebagai tanda sayang. Sayang ALLAH swt yaa anakku sayang. Ucap Alhamdullilah.''

Saya masukkan ''hati'' itu bersama- sama bekalan makanan tengah hari anak-anak ke sekolah. Harapan dan doa saya panjatkan ke hadratNYA agar usaha itu mampu memutikkan rasa cinta mereka kepada Allah Yang Maha Esa, Insyaallah. '' Mencari dan terus mencari cinta ILLAHI. 

Diadaptasi daripada sebuah majalah Solusi 2010, sebagai manfaat dan renungan bersama-sama dalam mendidik anak mengenal PenciptaNYA. Penulis Nuraslina binti Jusin.


1 comment:

  1. Allah tidk akan sesekali menguji Hamba nya kecuali Hamba nyerr mampu menghadapi Ujian tersebut.. ^_^

    ReplyDelete